KUCHING, 29 Sept: Kementerian Utiliti Sarawak bercadang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mula menyediakan bekalan air bersih dan elektrik 24 jam ke klinik di pedalaman negeri ini yang masih mengunakan sumber air dari telaga dan bekalan elektrik dari set janakuasa.
Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata bekalan air bersih tersebut akan disediakan melalui program ‘Sarawak Alternative Water Supply’ (Sawas) yang sudah bermula sejak hujung 2018 manakala bekalan elektrik 24 jam melalui program ‘Sarawak Alternative Rural Electrification Scheme’ (Sares) yang sudah bermula pada 2017.
Katanya kampung, rumah panjang dan sekolah di pendalaman dibekalkan air bersih melalui program Sawas yang mengunakan teknologi ‘ultra filtration’ bagi merawat sumber air dari sungai, air telaga tepi gunung atau air hujan manakala bekalan elektrik 24 jam melalui Sares pula mengunakan teknologi solar dan teknologi janakuasa mikro hidro di sungai kecil.
“Pada masa sama kita hendak mencadangkan (kerjasama) kepada pihak Kementerian Kesihatan supaya sekiranya ada klinik (di pendalaman negeri ini) yang belum ada bekalan ini (dari program Sawas dan Sares) kita hendak kongsikan juga dengan klinik terbabit,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Dana Pengurusan dan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai di Dewan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai di Jalan Haji Taha, di sini, hari ini.
Dr Abdul Rahman yang juga ADUN Pantai Damai berkata ini bagi membolehkan klinik terbabit yang dibawah Kementerian Kesihatan dan kerajaan pusat ada bekalan air bersih terawat dan bekalan elektrik 24 jam supaya dapat menyediakan perkhidmatan kesihatan lebih baik kepada penduduk kawasan itu.
Beliau berkata setakat ini dengan kerjasama dan sokongan Kementerian Pendidikan, pihaknya dalam proses mengunakan peruntukan sebanyak RM9 juta dari kerajaan Sarawak tahun ini bagi menyediakan bekalan air bersih dan elektrik jam 24 jam ke sekolah di pendalaman negeri ini melalui program Sawas dan Sares.
“Saya kurang pasti jumlah itu (sekolah yang menerima bekalan air bersih dan bekalan elektrik 24 jam dari peruntukan RM9 juta itu), tetapi saya rasa ada 50 sekolah terbabit kerana saya mengadakan mesyuarat terakhirnya dengan wakil Kementerian Pendidikan Januari lepas,” katanya, sambil menambah beliau belum ada maklumat terkini mengenainya.
Dr Abdul Rahman berkata Kementerian Utiliti Sarawak selepas ini akan memohon dari kerajaan Sarawak peruntukan pusingan kedua bagi melaksanakan dua program itu ke lebih banyak lagi sekolah di pendalaman dengan maklumat sekolah itu akan disediakan Kementerian Pendidikan dan pihaknya menentukan sekolah yang perlu diberikan keutamaan bagi program Sawas atau Sares.
Beliau berkata ini kerana kerajaan Sarawak menyediakan sehingga RM1 bilion bagi membangunkan kemudahan sekolah di seluruh negeri ini termasuk dari segi utilitinya serta mensasarkan pada 2025 semua isirumah termasuk sekolah di negeri ini ada bekalan air bersih dan bekalan elektrik 24 jam. — DayakDaily