Kerajaan negeri cadang membina muzium menyimpan, mempamerkan artifak masyarakat Melayu

Advertisement

KUCHING, Nov 1: Kerajaan negeri bercadang membina sebuah muzium bagi menyimpan dan mempamerkan pelbagai barangan artifak yang berkaitan sejarah dan budaya masyarakat Melayu di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata muzium masyarakat Melayu tersebut dicadangkan dibina dalam kawasan projek pembangunan Darul Hana di bandaraya ini.

“Di Darul Hana kita akan wujudkan muzium orang Melayu bagi menyimpan dan mempamerkan artifak orang Melayu kerana Darul Hana sinonim dengan Sarawak,” katanya ketika merasmikan penangguhan Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-7 anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), di sini, hari Rabu.

Advertisement

Majlis tersebut juga dihadiri Timbalan Ketua Menteri dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kebajikan Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengurus Besar AKYBMS, Professor Madya Datu Dr Sanib Said.

Abang Johari tidak mendedahkan butiran lanjut pembinaan muzium terbabit tetapi berkata adalah perlu kerana kerajaan negeri sedang menambahbaik kawasan kampung Melayu bukan sahaja di Kuching malahan di seluruh negeri di samping membuka kawasan penempatan baharu bagi masyarakat itu di seluruh negeri ini.

“Bukan sahaja di (bandaraya) Kuching, tapi di seluruh negeri saya telah membuka tanah (penempatan baharu masyarakat Melayu). Ini termasuk di Kemuyang dan Batu Oya bagi orang Melayu di Sibu, begitu juga Meludam dan Asajaya,” katanya.

Beliau sehubungan itu meminta masyarakat Melayu di negeri ini mempertahankan pemilikan tanah di kampung dan penempatan baharu mereka dan tidak menjualnya kepada orang lain.

Ini kerana kerajaan negeri ada menyimpan rekod tanah negeri ini yang asalnya milik masyarakat Melayu tetapi telah dijual kepada orang lain dan ditukar statusnya kepada tanah zon campur.

“Apabila tidak diluluskan (penjualan tanah milik masyarakat Melayu), mereka akan marah (dengan kerajaan negeri) kerana mereka sudah menerima duit (dari pembeli tanah) tetapi kalau diluluskan, Melayu hilang tanah,” katanya.

Disamping itu, beliau meminta masyarakat Melayu di Sarawak terus bersatu dalam politik dan tidak mudah terpedaya dengan orang dari luar yang semakin ramai masuk ke negeri ini dan mengunakan agama bagi memecahbelahkan mereka.

Sementara itu, Awang Tengah mengumumkan kerajaan negeri telah bersetuju memberikan sebidang tapak tanah di Jalan Ong Tiang Swee kepada AKYBMS dan akan menyelenggara pembangunan tanah tersebut bersama Persekutuan Perniagaan Sarawak.

“Saya sehubungan itu yakin Ketua Menteri akan terus membantu AKYBMS dan pertubuhan Melayu serta masyarakat Melayu dan semua penduduk negeri ini; harap kita akan terus bersatu dan kita akan terus berusaha untuk kecemerlangan masyarakat kita dibawah pimpinnanya,” katanya dan berterima kasih dengan Ketua Menteri atas pemberian tanah terbabit. — DayakDaily

Advertisement