Kerajaan memperuntukkan RM462.23 juta biayai 23 projek bekalan air di Bahagian Samarahan

File photo for illustration purposes

KUCHING, 12 April: Kerajaan menerusi Jabatan Bekal Air Luar Bandar (JBALB) telah memperuntukkan RM462.23 juta bagi pelaksanaan 23 Projek Rakyat Bekalan Air berimpak besar dari Kota Samarahan ke Sebuyau.

JBALB menerusi satu kenyataan hari ini berkata, jumlah tersebut termasuk Projek Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (Sawas) yang dilaksanakan sejak tahun 2018.

Katanya, projek-projek bekalan air ini telah dirancang dengan teliti bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di Bahagian Samarahan.


“Di samping menambah baik sistem bekalan air sedia ada, projek ini juga dijangka akan melonjakkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat dan memangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

“Ia juga memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau dan Simunjan,” menurut kenyataan itu.

JBALB berkata, projek yang dijangka siap menjelang tahun 2022 ini melibatkan kerja-kerja pembinaan saluran paip baharu, pembinaan tangki aras tinggi, pembinaan stesen pam penggalak, penggantian saluran paip lama serta kerja-kerja naik taraf loji rawatan air.

Setakat ini, sebanyak 12 projek telah selesai dilaksanakan dan berjaya menangani isu bekalan air di beberapa kawasan di Asajaya dan Sadong Jaya.

Bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di Bahagian Samarahan, JBALB akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan akan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan.

“Projek-projek tersebut merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak yang diilhamkan oleh Ketua Menteri untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh,” kata JBALB. — DayakDaily