This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 16 Sept: Kerajaan Perpaduan meluluskan peruntukan pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET) berjumlah RM 30 juta kepada Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah sebagai penggerak bagi menjayakan pembangunan TVET kepada belia di seluruh negara untuk datang dan belajar di CENTEXS, Sarawak.
“Peruntukan RM30 juta adalah bagi menampung sebahagian dari kos pembiayaan peserta-peserta yang mengikut pelbagai kursus berkaitan bidang berteknologi tinggi dan tenaga diperbaharui.
“Peruntukan ini juga bagi pembangunan makmal dan kemudahan pembelajaran,” katanya pada sidang media setelah mengadakan lawatan ke CENTEXS di Kuching hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, Majlis TVET Kebangsaan telah mengadakan kerjasama dengan CENTEXS Kuching bagi menyediakan tenaga kerja bagi pasaran kerja di negara ini.
Katanya, kerjasama tersebut fokus menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran yang boleh menguasai teknologi tinggi.
“Pelaburan terus luar yang dibawa oleh Perdana Menteri menuju ke arah industri berteknologi tinggi.
“CENTEXS Sarawak menyediakan kursus-kursus berdasarkan kepada permintaan guna tenaga berteknologi tinggi.
“Saya juga mencadang agar guna tenaga dalam bidang robotik dapat juga disediakan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yakin Sarawak yang telah meneroka tenaga hidrogen serta solar berada di kedudukan teratas dalam menyediakan tenaga kerja berteknologi tinggi menerusi CENTEXS. – DayakDaily