Kerajaan lancar pakej Permai berjumlah RM15 bilion

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Advertisement

KUCHING, 18 Jan: Kerajaan hari ini melancarkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) sebanyak RM15 bilion.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pakej bantuan Permai ini menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan.

“Kerajaan telah berkali-kali membuktikan bahawa kita tidak akan berkompromi di dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Advertisement

“Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah Permai yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya ketika mengumumkan pakej bantuan Permai.

Tambah Muhyiddin, pelaksanaan Permai adalah berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Bagi membiayai pakej bantuan Permai, kerajaan akan membuat penjajaran semula peruntukan sedia ada berdasarkan keutamaan semasa dan melalui perbelanjaan yang lebih berhemat, katanya.

Tambah Muhyiddin, kerajaan juga akan memastikan segala program yang diumumkan akan dilaksanakan dengan cepat dan lancar.

“Di bawah matlamat pertama memerangi wabak Covid-19, kerajaan telah menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion merangkumi hampir RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara dan juga agensi-agensi lain yang terlibat.

“Penyediaan peruntukan ini menumpukan kepada bekalan antaranya tambahan reagen dan kit saringan, serta peralatan PPE terutama kepada petugas kesihatan,” ujar beliau.

Manakala dibawah matlamat kedua iaitu memelihara kebajikan rakyat, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mempercepatkan bayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan bayaran fasa terakhir Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) mulai 21 Januari.

Ujar beliau, sejumlah 11.1 juta penerima akan mendapat bayaran sebanyak RM2.38 bilion.

“Bagi matlamat ketiga iaitu menyokong kelangsungan perniagaan, kerajaan berusaha mengurangkan beban yang ditanggung oleh sektor perniagaan menerusi beberapa langkah termasuk menambah baik Program Subsidi Upah.

“Melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan atau SIP PRIHATIN.

“Memperluaskan bantuan Geran Khas Prihatin (GPK) 500 ribu PKS di tujuh negeri PKP dengan bayaran RM1,000, manakala 300 ribu PKS di negeri yang lain akan menerima RM500.

“Perluasan inisiatif GKP Permai melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 juta,” ujar beliau. — DayakDaily

Advertisement