Kerajaan laksanakan Program Penempatan Semula di Simunjan, kata Abang Johari

Abang Johari (baju biru) bersama pemimpin-pemimpin GPS yang lain merakamkan kenangan bersama golongan belia pada Sesi Townhall di Gedong.

Oleh Chris Bishop

GEDONG, Mac 8: Kerajaan negeri sudah ada perancangan untuk membangunkan Program Penempatan Semula di Daerah Simunjan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, lokasi untuk melaksanakan program tersebut telah dikenalpasti.


“Kita sudah kenalpasti lokasinya dan harga rumah itu nanti tidaklah mahal sangat.

“Kita bina rumah untuk golongan berpendapatan rendah B40 di mana harga rumah adalah berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi TownHall Berambeh Ngan Abang Jo di Panggung Terbuka Gedong hari ini.

Tambah Abang Johari, rumah bertiang itu nanti akan memiliki dua bilik mandi, tiga bilik tidur dan sebuah bilik tamu.

Katanya, jika pemilik rumah itu nanti berkemampuan, mereka boleh membina bilik dibahagian bawah untuk menjadikan rumah tersebut besar.

Menjawab soalan berhubung isu perumahan di Gedong, beliau berkata Sarawak memiliki dasar perumahan untuk membantu rakyat.

Kerajaan, katanya, akan menanggung kos untuk kerja-kerja menembok tanah, membina parit, jalan raya, menyediakan bekalan air dan bekalan elektrik.

“Semua kos ini tidak dimasukkan di dalam harga rumah, pembeli hanya membayar kos pembinaan rumah sahaja,” ujar beliau.

Di samping itu, menurut Abang Johari lagi, pembeli tidak akan dikenakan bayaran jika kos sambungan elektrik ke rumah adalah RM5,000.

Kos tersebut, katanya, akan di tanggung kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS).

“Kalaulah harga penyambungan adalah RM10,000, pembeli hanya perlu membayar 30 peratus sahaja, baki 70 peratus akan di tanggung GPS,” tegas beliau. — DayakDaily