Kerajaan kawal harga pelitup muka, kata Nanta

Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Advertisement

KUCHING, 5 Ogos: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyangkal tuduhah sesetengah pihak bahawa kerajaan sengaja menaikkan harga siling pelitup muka.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, tuduhan tersebut adalah tidak berasas dan jelas menunjukkan kurangnya pemahaman pihak terbabit dalam memahami situasi tersebut.

“Kekurangan bekalan pelitup muka dalam negara bermula pada bulan Mac 2020 disebabkan peningkatan permintaan yang mendadak di seluruh dunia kesan penularan wabak Covid-19.

Advertisement

“Pengeluaran tempatan tidak dapat menampung permintaan yang tinggi, meskipun harga siling pelitup muka ditetapkan pada harga RM0.80 sen seunit pada ketika itu.

“Hakikatnya, adalah amat sukar untuk mendapatkan bekalan pelitup muka di pasaran disebabkan permintaan yang melebihi bekalan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kesannya tambah Nanta, pelitup muka mula dijual dengan harga melebihi harga siling yang ditetapkan.

Katanya, penetapan harga siling pelitup muka yang ditetapkan pada harga RM1.50 seunit juga terpaksa dilakukan kerana sepanjang bulan Mac dan April 2020, bekalan import terpaksa dibawa masuk ke dalam negara menggunakan pengangkutan udara yang turut menjadi faktor peningkatan harga pelitup muka.

“Pada masa yang sama, harga pelitup muka peringkat global meningkat disebabkan pengeluar utama dunia iaitu China menumpukan pengeluaran pelitup muka hanya untuk kegunaan rakyat di negara mereka.

“China telah menyekat dan mengurangkan eksport ke negara lain termasuk Malaysia,” ujar Nanta.

Menurut beliau lagi, setelah kajian dijalankan dengan pengilang dan pengimport, harga RM1.50 dilihat munasabah untuk membolehkan pengimport membawa masuk pelitup muka ke Malaysia.

Ujar Nanta, pada masa tersebut kos pelitup muka yang diimport mencecah di antara RM1.20 hingga RM1.40 seunit.

Selain itu, kilang tempatan sukar untuk mendapatkan bekalan bahan mentah untuk pelitup muka terutamanya yang diimport dari China berikutan situasi ‘total lockdown’ yang dihadapi oleh negara berkenaan pada peringkat awal penularan wabak Covid-19.

KPDNHEP kata Nanta memberi jaminan akan sentiasa mencari pendekatan terbaik yang seimbang demi kepentingan pelbagai phak bagi memastikan harga pelitup muka dapat dikawal dan sekaligus memastikan keberadaannya di dalam pasaran dapat dikekalkan.-DayakDaily

Advertisement