Kerajaan diharapkan dapat membekal lebih banyak peralatan menapis air

Siew Jin Fatt, 59, menunjukkan air bersih yang keluar dari tangki peralatan Life Saver M1 Tank di hadapan rumahnya.

SIMUNJAN, Jan 5: Penduduk luar bandar negeri ini berharap lebih banyak peralatan menapis air Life Saver M1 Tank dapat dibekalkan kerajaan kepada mereka supaya dapat menyediakan bekalan air bersih bagi diminum mengantikan air sungai atau air bukit.

Ini kerana ada sumber air sungai dan bukit di kawasan luar bandar yang telah semakin tercemar akibat aktiviti pertanian atau pembangunan lain dan seterusnya tidak lagi dapat menjadi sumber air yang bersih dan selamat bagi diminum penduduk kawasan tersebut.

Tinjauan mendapati peralatan itu sudah ada diberikan kepada segelintir penduduk luar bandar termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan dan menjadikan air hujan yang ditapis peralatan itu sebagai bekalan air bersih untuk diminum.

Antara mereka ialah Siew Jin Fatt, 59, di Kampung Gunung Ngeli yang sejak 2016 sudah mengunakan peralatan penapis terbabit bagi mendapatkan air minuman bersih dari hujan dan tidak lagi mengunakan sumber air sungai atau air bukit yang berhampiran kampungnya.

“Ini kerana air hujan ditapis mengunakan peralatan Life Saver M1 Tank dipasang dihadapan rumah keluarga saya warnanya jauh lebih jernih dari air sungai atau air bukit disamping tidak mempunyai kotoran serta tiada sebarang bau tidak menyenangkan sehingga air itu boleh diminum terus selepas ditapis,” katanya yang tinggal serumah dengan bersama bapanya, Siew Kim Bong, 84.

Beliau yang menjadi petani berkata sumber air dari bukit di kampungnya kini dikuatiri tidak lagi cukup bersih bagi diminum kerana kawasan berbukit Gunung Ngeli sudah banyak diterokai bagi kegiatan pertanian dan juga pembinaan sebuah kem tentera udara.

Peralatan Life Saver M1 Tank yang dipasang di hadapan rumah Siew Jin Fatt, 59, sejak 2016.

Menurutnya, setelah setahun minum air hujan ditapis dengan peralatan itu, beliau dan bapanya tidak pernah ada mengalami sebarang masalah meminum air terbabit dan peralatan penapis itu juga sentiasa berfungsi dengan baik tanpa ada mengalami sebarang kerosakan.

“Jadi kami setiap hari membasuh pakaian dan mandi mengunakan air sungai atau air bukit selepas pulang dari kebun, manakala air bagi minuman dan memasak pula diperolehi dari tangki Life Saver M1 Tank,” katanya.

Beliau bagaimanapun dimaklumkan peralatan terbabit hanya perlu ditukar penapisnya apabila sampai tempoh tertentu dan berharap Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) ada menyediakan perkhidmatan penukaran penapis itu serta menyarankan pemberian peralatan terbabit kepada lebih ramai penduduk luar bandar negeri ini.

“Ini terutamanya mereka yang tinggal jauh di pendalaman atau di kawasan yang terasing sehingga tidak dapat disediakan dengan saluran paip bagi membekalkan air bersih dari loji rawatan air ataupun kawasan yang kerap mengalami gangguan bekalan air sungai atau air bukit ketika kemarau,” katanya.

Life Saver M1 Tank mengunakan teknologi dari London dan dapat menapis air dari segala kotoran termasuk bakteria dan virus. Ia disumbangkan KKLBW dengan harga seunit ialah RM41,000 serta dapat menapis sehingga dua juta liter air. — DayakDaily