Kerajaan bina Pengkalan Phontoon khusus untuk komuniti nelayan Kampung Salak

Abdul Rahman (dua dari kanan) pada lawatan ke tapak projek berdekatan Jambatan Sungai Loba Pelait.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 27 April: Kerajaan akan membina sebuah Pengkalan Phontoon berdekatan Jambatan Sungai Loba Pelait dengan kos RM470,000 khusus untuk komuniti nelayan di Kampung Salak.

Cadangan pembinaan pengkalan tersebut dilaksanakan menerusi Program Transfomasi Luar Bandar(RTP) ADUN Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Advertisement

“Siap kelak, pengkalan ini akan memberi manfaat kepada komuniti nelayan dari Kampung Salak untuk menaikkan hasil tangkapan.

“Pengkalan Phontoon ini juga akan menyediakan kemudahan kepada para nelayan untuk menjual hasil tangkapan mereka,” kata Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan ke tapak cadangan projek hari ini.

Tambah Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti(Bekalan Air), pihak Jabatan Kerja Raya(JKR) akan melantik kontraktor projek setelah semua dokumentasi siap dan akan diuruskan bersama dengan pejabat residen.

Katanya, projek membina pengkalan phontoon ini akan mengambil masa setahun.

Disamping itu katanya, sebuah pengkalan yang kuat dan stabil adalah sangat diperlukan kerana kerajaan hendak menggalakan masyarakat luar untuk datang ke Kampung Salak.

“Kampung Salak memiliki banyak daya tarikan khususnya produk eko pelancongan.

“Ia adalah Kampung nelayan dan sudah tentu ada banyak aktiviti aktiviti nelayan dan kita telah menggalakkan penduduknya mewujudkan homestay.

“Yang keduanya, Kampung Salak dikelilingi Taman Tanah Lembap yang memiliki banyak flora dan fauna seperi monyet belanda dan ikan lumba lumba,” ujar beliau.

Menurut Abdul Rahman lagi, perjalanan menaiki bot dari tapak cadangan projek ke Kampung Salak adalah 15 minit.

Sementara itu katanya, kerjasama dengan pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara akan dibuat pada masa akan datang untuk menyediakan kemudahan tambahan di pengkalan itu nanti. — DayakDaily

Advertisement