Kerajaan bantu tujuh kes implan koklea dengan peruntukan RM620,000

Fatimah (empat kiri) di Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Sarawak Deaf Sports Association. Foto: UKAS

KUCHING, 25 Feb: Kerajaan pada 2021 hingga 2022 telah memperuntukkan RM620,000 untuk tujuh kes implan koklea.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia bagi membantu golongan OKU pendengaran.

“Permintaan telah diterima pihak kementerian daripada para doktor kerana mereka tahu bahawa kementerian kita telah diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk memberi bantuan terutamanya dari segi bantuan kesihatan.


“Kami telah menyediakan bantuan untuk mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang dan satu lagi adalah rawatan kesihatan,” kata Fatimah.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Sarawak Deaf Sports Association (SSDeaf) di Kuching hari ini.

Dalam program sama, Dato Sri Fatimah menyampaikan anugerah kepada dua atlet boling tenpin kelahiran Sarawak.

Siw Sing Hie dan Siong Mui Hong telah mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat emas dalam Deaflympics. — DayakDaily