Keputusan PRK Kimanis penanda aras keupayaan PH, kata Baru

Baru (tiga dari kanan) memotong riben sebagai simbolik perasmian Pusat Khidmat Komuniti PKR DUN N17 Stakan.

SAMARAHAN, JAN 19: Kekalahan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis semalam menjadi penanda aras kepada keupayaan Pakatan Harapan (PH), kata pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

Katanya, ia adalah petunjuk yang jelas dan suara rakyat yang telah memilih Barisan Nasional (BN) harus diterima.

“Ini adalah petunjuk kepada Warisan dan kerajaan untuk segera meneliti beberapa isu yang berkaitan, termasuk kegagalan kerajaan menunaikan janji-janji manifesto pada pilihanraya umum yang lepas, isu pas sementara Sabah dan isu tempatan yang lain.

“Ia adalah petunjuk yang jelas dan PH harus bertindak segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perasmian Pusat Khidmat Komuniti PKR DUN N17 Stakan di sini, hari ini.

Tambah Baru yang juga Menteri Kerja Raya, PH harus mengambil iktibar daripada kemenangan calon BN itu dan mahukan post mortem dilakukan dengan segera.

Pada PRK Kimanis, calon BN Datuk Mohamad Alamin mendapat 12,706 undi mengalahkan calon Warisan Datuk Karim Bujang yang memperoleh 10,677 undi.

Alamin menang dengan majoriti sebanyak 2,029 undi.

BN merampas semula kerusi berkenaan setelah keputusan pilihan raya umum 2018 dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya berikutan satu petisyen difailkan oleh Karim yang kalah tipis ketika itu. — DayakDaily