Kepantasan dan kecekapan penghuni rumah panjang berjaya kawal kebakaran

Keadaan sebuah bilik tidur yang terbakar.

Oleh Dean Adam

BETONG, Mac 8: Kepantasan dan kecekapan penghuni Rumah Sabai, Batu 8, di sini memadam kebakaran dapat menyelamat rumah panjang tersebut daripada musnah terbakar, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu telah mengakibatkan sebuah bilik tidur di rumah panjang tersebut terbakar kira-kira lima peratus.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Henry Jugah, berkata hasil tunjuk ajar pihak bomba telah berjaya menghalang kemerebakan api, sekali gus menyelamatkan 48 pintu rumah panjang dua tingkat yang didiami seramai 178 penghuni itu.

Katanya, penghuni rumah panjang berkenaan telah menggunakan alat pemadam yang disediakan di situ.


Kelihatan penghuni rumah panjang yang berjaya mengawal kebakaran.

“Kebakaran tidak melibatkan struktur rumah panjang tersebut. Pihak bomba hanya membuat pemantauan di lokasi bagi memastikan keadaan selamat sepenuhnya,” katanya di sini hari ini

Henry menambah, operasi memadam kebakaran itu ditamatkan apabila keadaan terkawal sepenuhnya. — DayakDaily