Kepala dipercayai mangsa dibaham buaya ditemui

Operasi SAR tersebut hari ini (22 Mei 2022).

LUNDU, 22 Mei: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dipercayai dibaham buaya di sungai Kampung Kangka, di sini ditangguhkan sepenuhnya hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata operasi SAR akan diaktifkan semula sekiranya ada petunjuk baharu.

“SAR di Lundu ditangguhkan sepenuhnya pada jam 3.30 petang setelah perbincangan dilakukan bersama agensi lain yang terlibat serta ahli keluarga mangsa.


“Operasi SAR akan diaktifkan semula sekiranya ada petunjuk baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Sebarang Bingkok berusia 56 tahun disedari hilang sekitar jam 3 petang pada 19 Mei lalu oleh keluarganya.

Usaha mencari mangsa dilakukan sehingga penemuan bahagian kepala mangsa oleh anak saudaranya yang menyusuri sungai tersebut dalam usaha mencari mangsa pada jam 5 petang.

Kepala tersebut telah dibawa ke Hospital Lundu untuk siasatan lanjut. — DayakDaily