Oleh Kadir Edison
PUTRAJAYA, 6 Okt: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui aktiviti kempen yang dilakukan semasa pilihan raya negeri Sabah yang lalu menjadi antara punca di sebalik peningkatan kes positif jangkitan Covid-19 yang melanda seluruh negara.
Katanya, walaupun peserta yang menyertai aktiviti kempen ketika PRN tersebut menggunakan pelitup muka namun pematuhan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) seperti penjarakan sosial kurang dilakukan dengan orang ramai duduk secara dekat dalam keadaan yang agak sesak.
“Saya terpaksa membuat SOP saya sendiri iaitu saya datang dengan kereta terus ke pentas tanpa melalui khalayak ramai.
“Ketika mula berucap, saya memberi peringatan kepada semua yang hadir supaya patuhi SOP yang ditetapkan, duduk jangan rapat-rapat, pakai pelitup muka dan sentiasa basuh tangan atau gunakan ‘sanitizer’.
“Setelah habis berucap, saya terus masuk kereta dan meninggalkan tempat ceramah dan dengan itu, saya tidak bersalam atau menyentuh sesiapa,” katanya dalam satu perutusan khas situasi semasa Covid-19 yang disiarkan petang ini.
Katanya, beliau turut mengarahkan pegawainya untuk tidak mengatur aktiviti kempen di kasan yang diklafikasikan sebagai zon merah walaupun mendapat undangan untuk berbuat demikian di kawasan terbabit.
“Ya, kalau diikutkan saya ingin berkempen di semua tempat, tetapi saya juga memikirkan tentang kesihatan dan keselamatan orang ramai yang hadir ke tempat-tempat berkempen, pegawai-pegawai saya dan diri saya sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, kata Muhyiddin, hakikat terdapat mereka yang telah dijangkiti wabak tersebut berada di Sabah menjadi sesuatu perkara yang agak mendukacitakan.
Justeru, katanya, kerajaan akan mempertingkatkan kawalan di perbatasan negeri itu dengan menambah jumlah anggota keselamatan yang bertugas serta mengatur gerak aset seperti kapal dan bot peronda untuk mengawal sempadan perairan negara.
Beberapa daerah di Sabah dan Kedah turut diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (PKPDB) untuk menghalang wabak terbabit daripada menular ke kawasan lain. — DayakDaily