Kemeriahan Hari Raya terjejas, rumah terbakar

Kelihatan kediaman jenis separuh kekal satu tingkat yang mengalami kebakaran.

KOTA SAMARAHAN, Jun 15: Kemeriahan sebuah keluarga yang menyambut Hari Raya Aidilfitri hari ini terjejas apabila rumah mereka di Kampung Stakan Melayu di sini terbakar.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.58 pagi itu, kediaman jenis separuh kekal satu tingkat yang didiami 16 penghuni telah musnah terbakar 50 peratus.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11 pagi.

Katanya, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba di kampung berkenaan, anggota bomba mendapati kebakaran itu melibatkan bahagian belakang ruang dapur serta merebak ke dua bilik tidur.

“Pasukan bomba kemudian bertindak melakukan kerja-kerja memadam kebakaran. Sebuah surau juga berjaya diselamatkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 12.05 tengah hari.

“Buat masa ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi disiasat,” katanya. — DayakDaily