Kemeriahan Hari Raya terjejas, rumah didiami sebuah keluarga terbakar

Anggota bomba sedang memadam kebakaran melibatkan sebuah rumah.

KUCHING, Jun 30: Kemeriahan sebuah keluarga menyambut Hari Raya baru-baru ini terjejas apabila kediaman mereka terbakar dalam satu kejadian kebakaran di Lorong 1Y, Jalan Foochow di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 7.55 pagi itu telah mengakibatkan rumah tersebut terbakar kira-kira 50 peratus.

Komander Operasi, Suharto Lamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.57 pagi.

Jelasnya, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Dua anggota bomba dari pasukan Kecemasan, Perubatan, Tindak Balas dan Perkhidmatan (EMRS) turut ke lokasi untuk memberi rawatan sekiranya terdapat sebarang kecederaan.

“Pasukan bomba telah berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah yang bersebelahan.

“Jarak antara rumah terbakar dengan rumah bersebelahan adalah lebih kurang 3 meter,” katanya di sini hari ini.

Suharto menambah, siasatan lanjut mendapati tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku.

Katanya, operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya pada pukul 9.10 pagi.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya lagi. — DayakDaily