Kementerian Pertahanan Malaysia menafikan kesahihan gambar kononnya anggota tentera yang hilang ditemui

Map. ā€” DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 25: Kementerian Pertahanan Malaysia menafikan gambar yang tular di media sosial hari ini yang mendakwa kedua-dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) yang hilang ketika bertugas dalam Operasi PEJARAK (Op PEJARAK) di Pulau Perak, telah ditemui petang semalam.

Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan media memberitahu, gambar bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditularkan itu sebenarnya adalah bot milik Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera yang telah menjumpai mayat seorang wanita ketika sedang belayar melalui kawasan utara Perairan Selat Melaka pada Julai 23 lepas.


“Mayat berkenaan telah diserahkan kepada Balai Polis Tanjung Tokong dan dibedah siasat di Hospital Pulau Pinang.

“Sehubungan itu, Kementerian Pertahanan Malaysia ingin menjelaskan bahawa operasi pencarian kedua-dua anggota yang disedari hilang sejak Julai 19 lalu masih dilaksanakan oleh pihak TLDM,” kata Kementerian Pertahanan Malaysia dalam kenyataan media itu hari ini.

Kenyataan sama menambah, Kapal Diraja (KD) Laksamana Muhammad Amin telah diaturgerak dalam operasi pencarian yang bermula pada Julai 20 lalu tertumpu di kawasan pulau dan perairan di situ.

Justeru, semua pihak diharap berhenti dan tidak menyebarkan sebarang laporan atau maklumat yang tidak benar bagi mengelakkan kekeliruan dan menghormati ahli keluarga mangsa terlibat. ā€” DayakDaily