Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan pada 2023 luluskan RM60.1 juta kepada Sarawak

Nga (tiga kiri) merasmikan Balai Bomba Dan Penyelamat Asajaya.

Oleh Chris Bishop

ASAJAYA, 6 Nov: Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun 2023 memperuntukan RM60.1 juta kepada Sarawak.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, ia merupakan peruntukan yang tertinggi dalam sejarah.


“Peruntukan keseluruhan ini melibatkan 360 buah projek termasuk dua projek pembaikan cerun di Miri yang menelan belanja RM1 juta.

“Pada tahun 2022 jumlah peruntukan keseluruhan adalah RM34.2 juta, manakala 2021 sejumlah RM22.5 juta ,” katanya pada sidang media selesai merasmikan Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Asajaya hari ini.

Tambah Nga, KPKT juga meluluskan peruntukan sebanyak RM661,970 kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan.

Katanya, ia adalah untuk kerja-kerja membaik pulih Perparitan dan Laluan Pejalan Kaki di Lorong Belakang di BDC Lorong E2 dan BDC Lorong E4, serta Lorong Belakang di BDC B1 dan BDC Lorong A6.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan KPKT kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan bagi melaksanakan 28 projek pembangunan termasuk projek penggantian lampu LED dan menaiktaraf tandas awam dan kerja-kerja berkaitan adalah sebanyak RM3.53 juta bagi tahun 2023,” ujar Nga.

Sementara itu, beliau memaklumkan KPKT menyalurkan peruntukan sebanyak RM150,000 kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara untuk menaiktaraf lorong pejalan kaki untuk ke Masjid India.

Setakat ini katanya, KPKT telah meluluskan dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.45 juta bagi melaksanakan menaiktaraf sistem perparitan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat ketika hujan lebat. — DayakDaily