Kementerian Kesihatan keluarkan larangan import produk Energy Candy

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Advertisement

KUCHING, 17 Feb: Kementerian Kesihatan hari ini mengeluarkan larangan pengimportan produk Energy Candy.

Ketua pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata arahan dikeluarkan serta-merta setelah produk tersebut disahkan mengandungi racun berjadual Tadalafil.

“Hasil analisis makmal ke atas produk Energy Candy yang dipercayai diimport disahkan mengandungi racun berjadual Tadalafil.

Advertisement

“Bahan ini dilarang penggunaannya dalam makanan di bawah Akta Makanan 1983,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah beliau, produk-produk yang terlibat di dalam larangan pengimportan ialah ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.

Kementerian turut memberi amaran kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk ini agar menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk jualan atas talian.

“Tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, di mana jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” ujar beliau.

Menurut Dr Noor Hisham, Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah Erectile Dysfunction (mati pucuk).

Katanya, ubat ini hanya boleh diberikan kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar.

Penyalahgunaan Tadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran.

Ia juga boleh menyebabkan penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung. — DayakDaily

Advertisement