Keluarga mangsa tragedi Feri Triso akan dibantu, kata Nanta

Nanta (dua dari kanan) cuba menenangkan Munah yang kelihatan amat sedih setelah kehilangan dua orang anak dan lima orang cucu. Turut kelihatan Angeline (tiga dari kanan).

Oleh Chris Bishop

SRI AMAN, 2 Jan: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini berada di Sri Aman untuk bertemu dengan ahli keluarga mangsa tragedi maut di Feri Triso semalam.

Ditemui di Hospital Sri Aman, beliau yang juga MP Kapit berkata bantuan sewajarnya akan diberikan kepada keluarga mangsa.


“Kita amat simpati dengan keluarga yang ditinggalkan mereka yang telah pergi. Sesungguhnya ia kejadian yang sedih dengan sembilan orang dalam satu keluarga kehilangan nyawa.

“Kita akan berbincang dengan keluarga ini nanti,” katanya yang ditemani isteri Datin Seri Angelina Celestine Ujang.

Nanta bercakap kepada pemberita di Hospital Sri Aman.

Turut bersama di Hospital Sri Aman adalah Adun Bukit Goram Jefferson Jamit.

Menurut Nanta, keluarga malang itu berasal dari Kapit di mana ibu dan nenek kepada mangsa-mangsa iaitu Munah Agong, 58, menetap di Kampung Baru di Pekan Kapit.

Katanya, Muna yang kehilangan dua anak perempuan dan tujuh orang cucu ada meminta bantuan rumah.

“Muna meninggalkan rumah panjang beliau setelah berkahwin di usia 18 tahun dan sejak itu beliau menetap di Kampung Baru.

“Beliau ada meminta bantuan untuk disediakan tapak baharu bagi membina rumah. Saya dan Adun Goram akan membantu,” ujar Nanta.

Pada lawatan tersebut, Nanta menghulurkan bantuan wang tunai berjumlah RM5,000 kepada keluarga mangsa.

Insiden semalam mengorbankan sembilan mangsa dipercayai disebabkan kenderaan pikap dinaiki mangsa hilang kawalan ketika di atas tanjakan lalu jatuh ke Batang Lupar.

Mayat mereka dibawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.

Mereka yang berasal dari Kapit dan Sibu dalam perjalanan menuju ke Kuching.

Mereka yang terkorban ialah Ronany Ting (pemandu), 33, Siti Aisha Abdullah, 36, Mohd Ahmad Mohd Hamdan, empat bulan, Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5, Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7, Wallace Phang, 7, Alvin Phang, 12, Khairunnisa Muhamad, 14, dan Nor Shuhada Mohamad, 16. — DayakDaily