KUCHING, 16 Ogos: Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2022 yang diadakan di Sri Aman adalah persediaan sebelum ke temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan September ini.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis berkata, kejohanan tinju terbuka ini turut disertai oleh peserta dari luar negara iaitu dari Singapura.
“Penyertaan melibatkan negara luar ini sudah pasti akan dapat memberikan satu pengalaman baru kepada petinju-petinju negara, khasnya petinju elit Negeri Sarawak sendiri,” katanya ketika merasmikan kejohanan berkenaan.
Kejohanan anjuran Persatuan Tinju Negeri Sarawak (Saba) itu telah diadakan di Stadium Tertutup Perbadanan Kemajuan Sukan Negeri Sarawak Sri Aman semalam.
Harden yang juga ADUN Simanggang menjelaskan, pentas kejohanan tersebut juga sebagai platform mencari bakat petinju baru Sarawak untuk dijadikan pelapis kepada petinju yang sedia ada sekaligus untuk diserap masuk ke pasukan tinju Negeri.
Katanya, ia juga bertujuan untuk memilih petinju terbaik dari setiap Pusat Pembangunan Sukan Dalam Negeri untuk diserapkan ke dalam pasukan tinju Negeri.
“Sebagai usaha untuk menambahkan bilangan atlet tinju, persatuan tinju di peringkat Negeri dan bahagian perlu proaktif mengadakan sesi pemilihan dengan mengadakan pertandingan di peringkat bahagian masing-masing untuk mencukil bakat baharu sebagai pelapis kepada ‘senior’,” ujarnya. — DayakDaily