Kejayaan Bonnie raih emas letak Malaysia di peta dunia

Dato Sri Fatimah Abdullah (file photo)

KUCHING, 28 Ogos: Kejayaan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik, Tokyo meletakkan Malaysia di peta dunia.

Malah menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, kejayaan atlet kelahiran Sarawak itu menjadi kebanggaan semua.

Katanya, ia sesuatu yang sangat mengembirakan khasnya kepada Sarawak.


“Kami amat gembira dengan kemenangan ini dan ini adalah semangat yang mereka bawa sebelum berangkat ke Tokyo.

“Berhubung insentif, Ketua Menteri sebelum ini telah mengumumkan akan memberikan insentif kepada yang berjaya membawa pulang sebarang pingat,” katanya.

Fatimah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pusat Kecemerlangan Sarawak(CENTEXS) di Mukah hari ini.

Terdahulu sebelum atlet paralimpik dari Sarawak berangkat ke Tokyo kata Fatimah, mereka telah mengadakan pertemuan secara maya bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dari tempat latihan mereka di Kuala Lumpur.

“Selepas pertemuan itu, para atlet melahirkan mereka amat bermotivasi dan mempunyai semangat yang tinggi untuk menang dalam acara paralimpik di Tokyo, Jepun.

“Mereka dengan semangat mengatakan mahu mencapai kemenangan untuk Sarawak dan Malaysia,” katanya.

Selain meraih emas, Bonnie turut memecahkan rekod Paralimpik dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan angkatan 228 kg. — DayakDaily