This Content Is Only For Subscribers
BELAGA, 6 Ogos: Pertandingan Pondok Tradisional Berhias pamerkan kepelbagaian etnik dan budaya yang diraikan bersama masyarakat Belaga.
Menurut Timbalan Menteri Utiliti Dan Komunikasi merangkap Adun Belaga Datuk Liwan Lagang, kepelbagaian serta perbezaan tersebut tidak menjadi masalah di Belaga.
“Masyarakat di Belaga raikan perbezaan ini dan kita tidak bergaduh.
“Inilah yang terbaik dan kita ingin memelihara supaya generasi muda dapat melihatnya,” kata Liwan ketika ditemui di Regatta Belaga 2023 semalam.
Regatta Belaga 2023 telah dirasmikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sementara itu Pondok Tradisional Uman Kejaman Long Liten muncul johan mengalahkan 20 pondok lain yang dibina di Tebingan Sungai Balui.
Untuk rekod, Kejaman Long Liten telah memenangi gelaran ini untuk empat tahun penganjuran berturut-turut.
Di tempat kedua dan ketiga ialah Lopu Punan Bah dan Uma Agong Long Da’ah.
Selain itu, ujar Liwan, pondok tradisional turut mempamerkan budaya, makanan dan kraftangan suku etnik Belaga.
“Pondok Tradisional Berhias memang ada di setiap penganjuran Regatta Belaga, kita beri insentif kepada mereka untuk membina pondok masing-masing.
“Ini juga mengalakkan kerjasama antara penduduk rumah panjang. Jika regatta berlangsung hanya beberapa hari sahaja, tetapi mereka telah berusaha menyiapkan pondok dalam tempoh sebulan,” ujar Liwan. — DayakDaily