KUCHING, Nov 14: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak memberi jaminan yang masyarakat luar bandar negeri ini akan terus dikecualikan dari mendapatkan permit pembakaran terbuka sekiranya pembakaran itu bagi menjalankan kegiatan pertanian tradisi yang bukan komersil.
Pengawal NREB Sarawak, Peter Sawal berkata masyarakat luar bandar hanya diwajibkan mendapatkan permit dari lembaga itu sekiranya mereka mahu membakar tanah luas bagi menjalankan pertanian komersil dan bukan pertanian tradisi seperti menanam padi bukit.
“Bagi masyarakat tempatan (di luar bandar), kami terus membenarkan mereka (melakukan pembakaran terbuka bagi kegiatan pertanian tradisi), namun bagi aktiviti lain yang secara komersil, mereka akan adalah dibawah undang-undang dan perlu mendapatkan permit,” katanya pada sidang media di Persidangan Kualiti Udara Lebih Baik Ke-10 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat, di sini, hari ini.
Persidangan tiga hari tersebut disertai seramai 200 penceramah tempatan dan antarabangsa yang dianjurkan bersama Clean Air Asia bersama Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS), Kementerian Sumber dan Asli Alam Sekitar serta NREB manakala sidang media terbabit juga dihadiri Presiden MyCAS, Dr Noor Zaitun Yahaya dan Pengarah Eksekutif, Clean Air Asia, Bjarne Pedersen.
Peter berkata demikian mengulas mengenai kenyataannya yang Sarawak komited dengan polisinya untuk mengharamkan sepenuhnya pembakaran terbuka selepas 2020 khususnya bagi aktiviti perladangan komersil bagi memastikan kualiti udara yang baik di negeri ini.
“Ketika ini kami masih membenarkan mereka (syarikat perladangan) melakukan pembakaran terbuka secara terkawal melalui pengeluaran permit, tetapi menjelang 2020 akan mengharamkan sepenuhnya pembakaran terbuka kepada mereka kerana menjangkakan berkurangnya pembangunan dan pembersihan tanah (bagi aktiviti perladangan),” katanya.
Beliau berkata kitaran pembangunan ladang kelapa sawit ketika itu juga dijangka mampu mengitar semula kesemua sisa biomas dari ladang yang tidak perlu lagi melalui proses kompos dan dijadikan baja dan tidak secara pembakaran terbuka.
Sementara itu mengenai pencemaran udara di negeri ini, Peter mengakui masalah terbabit kebanyakkan berpunca dari aktiviti pembakaran terbuka bagi pembukaan tanah yang turut menyebabkan jerebu.
Ini berbeza dengan pencemaran udara di banyak negara lain yang lebih berpunca daripada sistem pengangkutan dan dari kegiatan perindustrian mereka.
“Kita bagaimanapun sudah mempunyai semua bentuk perundangan dan proses bagi menangani masalah tersebut di negeri ini dan kita kini hanya perlu belajar dari negara lain terutama negara maju bagaimana mereka menangani masalah pencemaran udara,” katanya, sambil menambah ini boleh dipelajari melalui persidangan terbabit.
Peter berkata selain itu, Sarawak di persidangan itu juga boleh mempelajari pelbagai teknologi baharu yang sedang digunakan negara maju dan kemudian boleh mengubahsuainya supaya sesuai dipakai di persekitaran negeri ini. — DayakDaily