Kebakaran rumah pekerja, dua warga Indonesia maut

Anggota Bomba memadam kebakaran.

BATU NIAH,19 Okt: Dua lelaki warga asing ditemui mati dalam kebakaran sebuah kontena yang dijadikan rumah pekerja di sebuah ladang sawit di Kampung Telong, Jalan Pesisir Pantai Miri-Bintulu hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.55 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya Bomba di lokasi, didapati kebakaran telah terkawal dan anggota Bomba bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran serta sumber air dari jentera.

“Kebakaran turut melibatkan dua orang mangsa yang telah meninggal dunia dalam bilik struktur kontena yang terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi pemadam api ditamatkan pada jam 6.40 pagi.

“Mayat kedua-dua mangsa berusia 30an dan berasal dari Indonesia itu kemudian diserahkan kepada Unit Forensik Polis,” katanya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily