Kebajikan rakyat, salah satu keutamaan GPS, kata Wan Junaidi

Wan Junaidi (baju biru) melawat lokasi kebakaran di Kampung Bintawa Ulu.

KUCHING, Okt 1: Kerajaan Sarawak dibawah kuasa Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus komited menjaga kebajikan rakyat, lebih-lebih lagi mereka yang ditimpa malapetaka.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata GPS akan terus komited membantu serta menjaga kebajikan rakyat biarpun tanpa bantuan kerajaan persekutuan seperti dahulu.

“Sepertimana yang kita tahu, segala bantuan perumahan seperti PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin), RMR (Rumah Mesra Rakyat) dan yang lain-lain telah dihentikan oleh kerajaan persekutuan.

“Namun GPS dibawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan berusaha dengan sebaik mungkin bagi memenuhi kekurangan tersebut,,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah melawat lokasi kebakaran sebuah rumah serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Bintawa Ulu di sini, hari ini.


Mengulas berhubung kebakaran tersebut, Wan Junaidi berkata keluarga mangsa yang terlibat akan mendapat sebuah rumah sementara.

Katanya, jika ada kekosongan, mereka akan serta-merta dipindahkan ke rumah sementara dalam kadar yang segera.

“Ia bergantung kepada kekosongan dan kerja-kerja pembersihan dan baikpulih rumah tersebut dimana kosnya ditanggung Pusat Khidmat Santubong.

“Namun bayaran bulanan secara minima akan ditanggung oleh penghuninya sendiri,,” katanya

Pada masa yang sama, Wan Junaidi telah mengarahkan sayap-sayap pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kawasan berkenaan untuk membantu mangsa-mangsa kebakaran berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak.

Beliau mahukan magsa-mangsa mendapatkan dokumen pengenalan baru mereka yang telah musnah dalam kebakaran tersebut. — DayakDaily