Keadaan kecoh di PPV Stadium Dato Lee Teck Fook berjaya ditenangkan

Proses pemberian vaksin di PPV itu menjadi lancar selepas beberapa aturan dibuat.

MIRI, 21 Jun: Kurangnya komunikasi diantara petugas yang menjaga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Dato Lee Teck Fook Riam Road Secondary School (RRSS) pada pagi ini dipercayai antara punca kekeliruan berlaku dikalangan penerima vaksin yang hadir.

Kekecohan bermula kurang 15 minit sebelum PPV tersebut mula beroperasi pada jam 8 pagi.

Tiada tanda menunjukkan di mana sepatutnya kumpulan penerima vaksin dos pertama dan kedua seharusnya menunggu dan ini telah menyebabkan orang ramai tidak jelas di mana mereka perlu duduk menunggu.


Difahamkan, sebanyak dua khemah telah didirikan di perkarangan PPV terbabit sebagai kemudahan tempat menunggu giliran penerima sebelum dipanggil masuk.

Arahan saat akhir yang mengatakan pemecahan kepada dua kumpulan untuk penerima yang telah menerima dos pertama dan dos kedua vaksin Covid-19 menyebabkan susunan atur barisan menjadi kelam-kabut.

Kejadian menjadi agak tegang, apabila petugas mengarahkan barisan penerima yang baharu saja sampai ke perkarangan PPV tersebut untuk masuk mendaftar, sedangkan penerima yang telah menunggu sejak awal pagi lagi dikemudiankan.

Mujur, situasi tegang tersebut telah berjaya “ditenangkan” dan proses pemberian vaksin kepada penerima berjalan lancar.

Antara yang hadir menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 hari ini ialah sekumpulan pengamal media di daerah ini. — DayakDaily