Kaunter janji temu permohonan rayuan BPR dibuka hingga 30 Jun

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia logo

KUCHING, 28 Jun: Kaunter bagi permohonan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dibuka sehingga 30 Jun dalam pelanjutan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kaunter dibuka mukai jam 8 pagi hingga 11 tengahari berdasarkan hari bekerja di setiap negeri dan melalui janji temu di portal rasmi BPR.

“LHDNM menyediakan Kaunter Perkhidmatan di Pejabat Cawangan, Pejabat Satelit, Pusat Khidmat Hasil (PKH) melalui janji temu di portal rasmi BPR.

“Juga disediakan ialah kemudahan Kotak Serahan di Pejabat Cawangan, Pusat Satelit, PKH dan Pejabat-Pejabat Daerah di Sabah dan Sarawak berdasarkan waktu operasi pejabat berkenaan,” katanya.

LHDNM jug memaklumkan bahawa Kaunter Duti Setem hanya akan beroperasi di Pusat Setem Cawangan (PSC) dan urusan adalah melalui janji temu sahaja.

Katanya, ia dibuka dari jam 8 pagi hingga 12 tengahari berdasarkan hari bekerja di setiap negeri.

“Janji temu dibuka kepada pelanggan dan Pembayar Duti Individu yang tidak boleh mendaftar sebagai pengguna Stamp Assessment And Payment System (STAMPS) sahaja.

“Pembayar Duti Selain Individu (Ejen STAMPS) diwajibkan untuk mengemukakan permohonan dan bayaran secara dalam talian melalui STAMPS,” katanya.

Semua permohonan janji temu untuk urusan duti setem boleh dilakukan melalui e-mel atau panggilan telefon kepada PSC.

Kenyataan itu juga berkata Kaunter Pusat Bayaran di Pusat Bayaran Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat mulai 8 pagi hingga 12 tengahari.

Ia menyediakan perkhidmatan bayaran tunai dan cek seperti cukai pegangan, seniman kembara, cukai keuntungan harta tanah oleh pemeroleh, kompaun, bayaran menggunakan kad kredit dan kad debit, cukai pendapatan dan lain-lain cukai. — DayakDaily