Kaum Bisaya disaran pertahankan identiti, kukuhkan hubungan dengan etnik lain

Awang Tengah (tiga kanan) mendengar mainan viola yang dibuat oleh salah seorang peserta expo kraftangan kaum Bisaya di Malam Kebudayaan tersebut. 
Advertisement

LIMBANG, 8 Jun: Kaum Bisaya di negeri ini harus sentiasa mempertahankan identiti unik mereka dan dalam masa yang sama, terus mengukuhkan hubungan dengan kaum etnik lain.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, identiti kebudayaan, bahasa dan adat resam harus sentiasa dipraktikkan agar tidak terhakis.

“Perubahan yang di bawa arus pemodenan kadangkala membuatkan sesetengah kita lupa identiti kita. Ini harus kita elakkan,” tegasnya ketika merasmikan Malam Kebudayaan Pesta Babulang 2019 di Kampung Batu Danau, di sini, pada Jumaat (7 Jun).

Advertisement

“Kita mahukan persefahaman antara kaum di Sarawak yang berada di tahap terbaik sekarang ini terus kekal. Program seperti Pesta Babulang ini merupakan pentas terbaik untuk memperkenalkan kebudayaan dan keunikan kaum Bisaya kepada kaum lain,” tambah beliau.

Awang Tengah juga menggesa penganjur Pesta Babulang, iaitu Persatuan Bisaya Sarawak, untuk menggunakan landasan digital untuk mempromosikan pesta tersebut.

“Capaian menerusi landasan digital sudah tentu lebih meluas dan pasti sambutan pesta ini akan lebih meriah,” kata beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan Residen Limbang Ahmad Denney Ahmad Fawzi. — DayakDaily

Advertisement