Oleh Dean Adam
KUCHING, Ogos 21: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas sebanyak 5,805.84 liter minuman keras pelbagai jenama menerusi satu serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Batu Tiga, semalam.
Pengarahnya, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, menerusi serbuan pada pukul 3.50 petang itu, pegawai penguatkuasaan Kastam turut menahan seorang individu yang dipercayai pemilik premis barangan tersebut.
Kata beliau, jumlah anggaran nilai barang sitaan bagi serbuan tersebut adalah sebanyak RM 42,377.44 serta nilai duti Kastam yang terlibat berjumlah RM89,824.26.
“Siasatan awal mendapati individu tersebut disyaki menyembunyikan minuman keras yang belum lulus Kastam di ruang belakang premis berkenaan sebagai tempat simpanan barang-branag larangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, individu terbabit kini ditahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Tegasnya, jika disabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Kastam juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah,” katanya. — DayakDaily