Kastam Sarawak rampas dadah RM1,266,375.20 disyaki seludup guna pos

Kelihatan dadah yang dirampas daripada suspek.

Oleh Dean Adam

MIRI, Mei 7: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya mengagalkan cubaan untuk menyeludup pil ekstasi dengan menggunakan perkhidmatan penghantaran pos bungkusan, di sini semalam.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota penguatkuasaan Miri dengan bantuan anggota Cawangan Narkotik JKDM Sarawak telah mengerakkan satu operasi bagi mengesan dan menahan pemilik bungkusan yang disyaki mengandungi dadah.


Jelasnya, pada pukul 9.45 pagi seorang suspek lelaki berusia lingkungan 20-an telah ditahan bersama satu bungkusan semasa dia keluar dari premis Pos Laju Miri di sini.

“Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan itu menjumpai sebanyak 24,594 biji pil ekstasi.

“Seterusnya, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek juga telah membawa kepada penemuan sebanyak 30 paket ketulan kristal yang disyaki ketamine seberat 26.88 gram,” katanya di sini hari ini.

Sharifah Halimah menambah, suspek itu ditahan dan bungkusan dan sebuah kenderaan telah disita untuk siasatan selanjutnya.

Katanya, anggaran nilai rampasan ialah berjumlah RM1,266,375.20 dan modus operandi yang digunakan bagi mengelirukan pihak berkuasa adalah dengan mengikrar dagangan pada ‘consignment note’ sebagai coklat.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan akan dihukum gantung sampai mati,” katanya. ā€” DayakDaily