Karnival Kepenggunaan sampaikan maklumat kepada masyarakat setempat, kata KSU Hasnol

Hasnol(dua dari kiri) memakai ‘kain Selampai’ yang dihadiahkan Chrislogo(kiri) sebagai cenderahati. Turut kelihatan Nanta(tiga dari kanan) Barangan Malaysia Daerah Kapit.

Oleh Chris Bishop

KAPIT, 19 SEPT: Karnival Kepenggunaan-Kempen Beli Barangan Malaysia Daerah Kapit anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) merupakan landasan untuk menyampaikan maklumat-maklumat mengenai fungsi kementerian.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, maklumat-maklumat ini harus diketahui oleh masyarakat setempat.


“Kementerian mengambil berat tentang perkembangan perniagaan dan dengan kita berada di tempat-tempat seperti ini kita dapat menyampaikan maklumat-maklumat kepada masyarakat peniaga dan masyarakat pengguna.

“Saya amat berbangga dengan sambutan dan sokongan yang diberikan oleh warga Kapit atas karnival yang diadakan pada kali ini,” katanya.

Hasnol berkata demikian ketika ditemui di majlis penutupan karnival di Fort Sylvia yang telah disempurnakan Menteri KPDNHEP Datuk Alexander Nanta Linggi semalam.

Karnival Kepenggunaan-Kempen Beli Barangan Malaysia Daerah Kapit bermula dari 15 hingga 18 September 2020 dan dianjurkan bersempena Sambutan Hari Malaysia 2020.

Dengan penganjuran selama 4 hari itu, Hasnol percaya objektif kempen telah dapat disampaikan dengan baik.

“Saya berharap mesej Kempen Beli Barangan Malaysia ini dapat difahami oleh masyarakat setempat dan dapat dipraktikan dalam pembelian barangan keperluan seharian mereka.

“Pada yang sama, saya juga mengharapkan dengan rancaknya kempen ini, ia akan memberi ruang dan peluang kepada perniagaan untuk terus berkembang yang telah terjejas akibat pandemik Covid-19 baru-baru ini,” ujar beliau.

Hasnol hadir di majlis penutupan Karnival Kepenggunaan-Kempen Beli
Barangan Malaysia Daerah Kapit.

Justeru dengan perkembangan positif ini tambah Hasnol, banyak perniagaan akan terus maju disamping dapat memastikan pekerjaan bagi rakyat dan masyarakat setempat terpelihara.

“Akhirnya mereka sama-sama dapat memberikan sumbangan kepada ekonomi secara keseluruhannya untuk jangka panjang dan pendek,” tambah Hasnol lagi.

Karnival selama 4 hari itu dipenuhi dengan pelbagai acara berkaitan kepenggunaan seperti ceramah kepenggunaan, taklimat pendaftaran perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM), pengenalan kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia disamping pertandingan mewarna, memasak dan ‘consumer hunt’.

Sebanyak 20 gerai usahawan tempatan turut mendirikan gerai-gerai jualan yang mendapat sambutan hangat dari penduduk Kapit.

Karnival yang julung-julung kali diadakan di Daerah Kapit ini dijayakan hasil koloborasi bersama Pejabat Daerah Kapit Dan Pejabat KPDNHEP Sarawak.

Turut hadir Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan dan Pegawai Daerah Kapit Chrislogo Sabut. — DayakDaily