Kapal bawa muatan jentera berat karam, dua kru kapal masih hilang

Kelihatan anggota yang menyertai operasi SAR tersebut.

SARIKEI, 10 Feb: Sebuah kapal yang membawa jentera berat dilaporkan karam di Sungai Batang Sarding, dekat sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata seorang daripada kru kapal dilaporkan berjaya diselamatkan dan dua lagi masih hilang.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sebaik sahaja maklumat berkenaan kejadian diperolehi.


“Sekitar jam 8.30 pagi tadi, seorang saksi yang kebetulan berada di lokasi kejadian melihat seorang lelaki iaitu juragan kapal (yang karam) sedang terkapai-kapai di dalam sungai.

“Saksi tersebut berjaya menyelamatkan mangsa dan kemudian terus mengejarkannya ke Hospital Sarikei menggunakan laluan sungai.

“Namun demikian, menurut mangsa yang terselamat, terdapat dua lagi rakannya yang masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi SAR oleh anggota Balai Bomba Penyelamat Tanjung Manis masih lagi dijalankan.

Difahamkan kapal tersebut yang membawa muatan jentera berat telah karam sekitar jam 12.00 tengah malam tadi. — DayakDaily