Kanak-kanak setahun cemas terperangkap dalam kereta

Anggota bomba berusaha membuka pintu kereta yang terkunci untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.

KOTA SAMARAHAN, Jan 8: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan berdepan detik mencemaskan apabila dia terperangkap selama kira-kira 30 minit di dalam kereta bapanya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Taman Stakan Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, kanak-kanak tersebut dikatakan terperangkap selepas kereta jenis Perodua Myvi milik bapanya tiba-tiba terkunci secara automatik.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, kejadian itu dikatakan berlaku apabila bapa kanak-kanak terbabit keluar dari keretanya untuk menutup pintu pagar rumah mereka.


Katanya, panik dengan situasi itu, bapa kanak-kanak berkenaan kemudian menghubungi pihak bomba untuk membantu mengeluarkan anaknya yang terperangkap di dalam kereta tersebut.

“Pada mulanya, bapa kanak-kanak itu cuba untuk membuka pintu kereta tersebut namun gagal sehingga dia menghubungi pihak bomba bagi melakukan tindakan susulan.

“Sejurus menerima laporan kejadian kita-kira pukul 8.07 pagi, 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah jurucakap sama, sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati seorang kanak-kanak lelaki masih terperangkap di dalam kenderaan terbabit.

Jelasnya, anggota bomba segera melakukan kerja-kerja susulan dengan mengggunakan peralatan khas sebelum berjaya membuka pintu kereta itu semula.

“Selepas berjaya membuka pintu kereta itu, kanak-kanak tersebut kemudian dikeluarkan tanpa sebarang mengalami kecederaan,” ujarnya lagi. — DayakDaily