Kanak-kanak perempuan jatuh dalam sungai, disahkan meninggal dunia

Mangsa dipangku ke darat selepas berjaya dijumpai.

BINTULU, 23 April: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun disahkan meninggal dunia, dipercayai lemas dalam sungai belakang Kilang Casmore Sungai Plan, Kidurong di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mangsa terjatuh dalam sungai tersebut pada jam 2.39 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan memulakan operasi pencarian dengan kaedah ‘water surface searching’ di lokasi mangsa dikatakan terjatuh.

“Mangsa telah dijumpai pada jam 4.12 petang dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily