Kanak-kanak perempuan cedera di mata akibat terkena semburan bisa ular tedung

Kelihatan seorang kanak-kanak perempuan yang cedera akibat terkena semburan bisa ular tedung.

Oleh Dean Adam

SIBU, Dis 10: Seorang kanak-kanak berdepan detik mencemaskan apabila cedera di matanya akibat terkena semburan bisa ular tedung dalam satu kejadian di sebuah rumah di Jalan Yong Kip Kim di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, kanak-kanak perempuan berkenaan selamat tanpa mengalami kecederaan lain.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu, Yusuf Tar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.32 petang.

Jelasnya, sepasukan tujuh anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menangkap reptilia berkenaan.

“Apabila tiba, anggota bomba mendapati mangsa cedera di mata akibat terkena semburan bisa ular tedung berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum menangkap reptilia berbisa itu,” katanya di sini hari ini.

Anggota bomba menangkap seekor ular tedung.

Yusuf menambah, anggota bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk menangkap ular tedung berkenaan.

Katanya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya selepas ular tedung berkenaan dilepaskan ke habitat asalnya,” katanya. — DayakDaily