Kanak-kanak OKU belum ditemui selepas 4 hari hilang

Mohd Chee Kadir (tengah) turut berada di pos kawalan bomba.
Advertisement

Oleh Dean Adam

KABONG, Dis 26: Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Pengkalan Perahu Tambang Kabong di sini belum terungkai apabila dia masih gagal ditemui hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat masih gagal mengesan mangsa, Nur Syahadah Fatihah Imam, 10.

Advertisement

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, operasi SAR diteruskan dengan radius pencarian diperluaskan sejauh 8 kilometer (km) menghala ke Pantai Tanjung Kembang dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Bagaimanapun, setakat ini, kanak-kanak yang dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) itu masih gagal dikesan.

“Jumlah keanggotaan dan aset terlibat Bomba – 4 anggota (1 bot), PDRM – 4 anggota (1 bot), RELA – 11 anggota (1 bot), APM – 6 anggota (1 bot), CERT Kabong – 7 orang (1 perahu), PIBG SK Abg Leman – 10 orang (2 perahu) serta penduduk Kampung – 30 orang (10 bot).

“Turut serta dalam operasi SAR adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang selepas dikatakan keluar memancing ikan di pengkalan perahu di sini.

Mangsa dilaporkan hilang selepas dikatakan tidak pulang ke rumahnya hingga pukul 6 petang.

Berdasarkan maklumat diterima, bapa kepada mangsa yang juga orang kelainan upaya (OKU) itu mengatakan anaknya tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing ikan. -DayakDaily

Advertisement