Kanak-kanak lelaki hilang dipercayai diserang dan dibaham sang bedal

Anggota bomba tiba di lokasi untuk melakukan tindakan lanjut.

DEBAK, Jan 3: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai diserang dan dibaham seekor buaya di Sungai Dit di Kampung Melayau Dit di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu dikatakan berlaku ketika mangsa, Abang Mohammad Haikal dikatakan sedang memancing di tebing sungai tersebut bersama rakan-rakannya.

Menurut sumber, kejadian itu disedari oleh penduduk kampung, Senie Bijang, 54, yang kebetulan melalui kawasan tebing sungai tersebut.

Katanya, Senin mendakwa ternampak seekor buaya tiba-tiba menerkam mangsa dan menarik kanak-kanak itu ke tengah sungai sebelum kelibatnya terus hilang.

“Lelaki terbabit cuba membantu, namun gagal sebelum dia berlari pulang ke kampung untuk memaklumkan kejadian itu dan menghubungi pihak bomba,” kata sumber ketika dihubungi hari ini.

Tempat kejadian di mana mangsa diserang dan dibaham buaya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.11 petang.

Tambahnya, sejurus menerima laporan insiden itu, lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong bergegas ke tempat kejadian untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, apabila tiba di kampung itu, keadaan sudah gelap dan operasi mencari mangsa akan dilakukan awal pagi esok.

“Namun, pos kawalan bomba sudah dibuka di sekitar jeti Kampung Melayu Dit,” katanya. — DayakDaily