Kaki tersekat dalam mesin pengisar ikan, lelaki warga Indonesia cedera parah

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan kaki mangsa yang tersekat dalam mesin pengisar ikan.

BAU, Sept 17: Seorang lelaki warga Indonesia berdepan detik mencemaskan apabila kaki kirinya masuk dan tersekat di dalam mesin pengisar ikan dalam satu kejadian di kilang di Jalan Bau-Krokong, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, lelaki yang dikenali sebagai Santo, 27, cedera parah di bahagian kakinya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Tawang Lingem, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.03 petang. Sejurus itu sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kaki kiri mangsa masih tersekat dalam mesin pengisar ikan.

“Pasukan bomba kemudian meminta bantuan daripada petugas Hospital Bau untuk memberi untikan ubat penahan sakit sebelum bertindak menarik keluar kaki mangsa,” katanya di sini, hari ini.

Mangsa dibawa ke Hospital Bau untuk tindakan lanjut.

Tawang menambah, pasukannya mengambil masa sejam lebih untuk mengeluarkan kaki mangsa.

“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak pegawai perubatan Hospital Bau untuk tindakan selanjutnya.

“Setelah didapati keadaan selamat, pasukan bomba terus balik ke balai pada pukul 3.37 petang,” katanya. — DayakDaily