Kajian bagi naiktaraf Mahkamah Bumiputera Sarawak kini dilaksanakan

Jefferson Jamit Unyat

KUCHING, 17 Mei: Kajian untuk menghasilkan satu Pelan Induk bagi penstrukturan semula dan menaiktaraf status Mahkamah Bumiputera Sarawak kini sedang dilaksanakan.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang Dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat, kajian adalah agar ia setanding dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

“Hasil kajian ini nanti akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum tindakan selanjutnya dapat dilaksanakan,” katanya pada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai menjawab soalan Adun Bukit Semuja John Ilus di sini, hari ini.


Kajian bagi tujuan penstrukturan semula tersebut bertajuk “The Restructuring and Elevation of The Native Court of Sarawak”.

Tambah Jefferson, bidang kuasa Mahkamah Bumiputera Sarawak adalah untuk mendengar dan mengadili kes-kes berkaitan pelanggaran adat.

“Ia adalah berdasarkan penetapan di bawah ‘Codified Adat’ (adat yang telah dibukukan dan dijadikan undang-undang bertulis) bagi pelbagai komuniti Bumiputera di Sarawak.

“Dan kes-kes berkaitan pertikaian ke atas hakmilik dan tuntutan pampasan tanah hakmilik adat Bumiputera di bawah Kanun Tanah Sarawak,” katanya. — DayakDaily