Kadar sifar GST memberi kesan kepada harga minuman di medan selera Kota Samarahan

Resit yang mengesahkan harga segelas kecil teh o panas disajikan satu medan selera terkemuka di Kota Samarahan tidak lagi dikenakan GST.

KOTA SAMARAHAN, Jun 7: Pengurangan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada sifar bermula Jun 1 lepas didapati mula memberi kesan kepada harga minuman yang disajikan medan selera di Kota Samarahan.

Tinjauan di salah satu medan selera terkemuka di Kota Samarahan hari ini mendapati harga minuman yang disajikan mereka kepada pelanggan sudah tidak lagi mengenakan cukai terbabit.

Antaranya segelas kecil teh o panas yang sebelum ini biasanya dijual pada harga RM1.10 termasuk GST kini hanya dijual mereka dengan harga RM1 iaitu berkurangan sebanyak 10 sen dengan pelayan di medan selera itu mengesahkan penurunan harga terbabit disebabkan tiadanya kutipan cukai GST.


“Tidak perlu bayar tambahan sebanyak 10 sen lagi bagi membayar harga segelas kecil teh o panas di sini,” kata seorang pelayan medan selera itu sambil mengembalikan 10 sen kepada pelanggan yang baru menyedari harga baru tanpa GST itu.

Pelayan terbabit kemudian menjelaskan yang medan selera tersebut sudah tidak lagi mengutip GST dalam harga minuman disajikannya dan ini telah bermula sejak seminggu yang lepas dengan resit pembelian juga turut menunjukkan sudah tiada lagi kutipan cukai itu.

GST mula diperkenalkan pada April 1, 2015, bagaimanapun Kementerian Kewangan mengumumkan GST ditetapkan pada sifar mulai Jun 1 lepas dalam satu kenyataan dan meliputi semua perkhidmatan dan semua barangan yang dikeluarkan dalam negara serta diimport.

Peniaga berdaftar perlu mematuhi arahan itu dan mereka masih tertakluk kepada peraturan semasa termasuk pengeluaran invois cukai, penghantaran penyata cukai di dalam tempoh yang ditetapkan dan tuntutan kredit cukai input. — DayakDaily