Kadar pengesanan varian Delta 99 peratus di Bahagian Kuching

File photo for illustration purposes

KUCHING, 29 Ogos: Kadar pengesanan varian Delta semalam yang berjumlah 178 kes adalah setinggi 83 peratus, kata Pengarah Kesihatan Sarawak Dato Dr Mohamed Sapian Mohamed.

Katanya, varian Delta telah dikesan di 10 bahagian di Sarawak dengan kadar pengesanan varian tersebut setinggi 99 peratus di Bahagian Kuching.

“Kehadiran virus Delta ini yang mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi iaitu lima sehingga lapan kali lebih tinggi berbanding dengan varian Covid-19 yang lain, menjadikannya faktor utama keberjangkitan kes yang tinggi di Sarawak khususnya di Zon Selatan.

“Varian Delta berpotensi untuk merebak dengan cepat terutama jika individu tidak memakai pelitup muka, tidak mematuhi penjarakan fizikal dan tidak mengamalkan kebersihan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr Mohamed, masyarakat di Sarawak amat bertuah kerana liputan imunisasi Covid-19 yang telah mencapai 90.9 peratus bagi dos pertama dan 87.9 peratus bagi dos kedua setakat 28 Ogos 2021.

Ujar beliau, walaupun imunisasi berkesan dalam mengurangkan keterukan penyakit akibat jangkitan Covid-19 kepada seseorang tetapi perlu diingat bahawa lebih kurang 30 peratus daripada kes harian merupakan golongan di bawah umur 18 tahun yang masih belum layak menerima vaksin.

“Daripada jumlah kes baharu yang dikesan pada bulan Ogos 2021, sebanyak 99 peratus kes berada pada tahap klinikal Kategori 1 dan Kategori 2 semasa dikesan positif.

“Walau bagaimanapun, kadar penggunaan katil bagi kes rawatan kritikal di seluruh Sarawak menunjukkan peningkatan pada bulan Ogos 2021 tetapi ianya masih pada tahap di mana pihak hospital masih berupaya untuk menguruskannya,” ujar beliau.

Menurut Dr Mohamed Sapian lagi, jumlah 2,522 kes yang direkodkan hari ini menjadikan kumulatif kes adalah sebanyak 112,245 kes.

Jelas beliau, ianya merupakan hari ke-12 berturut-turut bilangan kes harian melebihi angka seribu bermula 18 Ogos 2021.

“Pada bulan Ogos 2021 sahaja sejumlah 35,517 kes baharu telah dikesan iaitu peningkatan sebanyak 224 peratus berbanding Julai 2021 bagi tempoh yang sama,” katanya. — DayakDaily