Kadar jenayah di Sarawak menurun 9.5 peratus

Wan Ahmad (kanan) disambut oleh Mohd Dzuraidi di IPK Sarawak.

Oleh Dean Adam

KUCHING, 26 Okt: Kadar indeks jenayah di negeri ini merekodkan penurunan sebanyak 9.5 peratus setakat 10 bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata kejayaan menurunkan kadar jenayah di seluruh negeri ini adalah hasil dedikasi dan komitmen tinggi yang ditunjukkan anggota polis.

Menurut beliau, kesedaran orang awam yang memaklumkan kejadian jenayah kepada pihak polis secara langsung juga dapat memerangi kes jenayah.

“Bagaimanapun, pasukan polis tidak boleh cepat berpuas hati, namun terus memantapkan lagi kualiti perkhidmatan kepada masyarakat awam.

“Langkah ini penting bagi membanteras jenayah sekali gus membolehkan keamanan dapat dinikmati bersama,” katanya semasa majlis taklimat pemeriksaan Balai Polis Perintah Tetap Ketua Polis Negara di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohd Dzuraidi Ibrahim.

Wan Ahmad memeriksa perbarisan kawalan kehormatan oleh pegawai dan anggota polis IPK Sarawak.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, prestasi pasukan polis di seluruh negeri tersebut juga amat memberangsangkan dengan dapat menyelesaikan kes-kes siasatan jenayah dalam tempoh singkat.

Katanya, polis bukan sahaja berpuas hati kerana indeks jenayah dapat diturunkan sebaliknya kadar penyelesaian kes turut menggalakkan.

“Sehubungan itu, kita akan terus berusaha memastikan kadar indeks jenayah di Sarawak terus menurun,” ujarnya. — DayakDaily