Jurukur tanah sempat minta tolong sebelum rebah dan meninggal dunia

Anggota APM Sri Aman membantu membawa mangsa keluar dari dalam hutan.
Advertisement

SRI AMAN, 6 Jan: Seorang pekerja Jabatan Tanah dan Ukur, di sini disahkan meninggal dunia selepas dikatakan rebah semasa sedang bekerja di hutan Taman Harmoni, Kilometer 7 Jalan Sri Aman-Serian.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Bingkok John berkata mangsa dikenali sebagai Azmi Jamal,47 tahun dan berasal dari Kampung Hilir, Sri Aman.

Beliau memberitahu, mangsa semasa kejadian bersama beberapa rakan sekerjanya melakukan kerja-kerja penyukatan tanah iaitu sekitar jam 8.15 pagi.

Advertisement

“Selepas diberi bantuan oleh rakannya, mangsa sedar semula dan memberitahu mahu bangun dan berdiri dengan bantuan rakan-rakannya sebelum rebah semula dan tidak sedarkan diri.

“Beberapa kakitangan APM tiba di lokasi kejadian selepas mendapat laporan dan kemudian membantu membawa mangsa keluar dari kawasan hutan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa oleh kakitangan perubatan yang menunggu di jalan Kampung STC-Taman Harmoni,” katanya ketika dihubungi.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sri Aman untuk tindakan selanjutnya.

Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) -DayakDaily

Advertisement