KUCHING, Mac 20: Keseluruhannya seramai 4.856 juta pelancong telah melawat Sarawak tahun lepas dengan paling ramai dari Brunei Darussalam iaitu seramai 1.73 juta orang pelancong.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah juga mendedahkan pelancong kedua paling ramai melawat negeri ini tahun lepas adalah dari Indonesia iaitu 513,442 orang dan ketiga paling ramai dari negara Filipina iaitu 68,380 orang pelancong.
“Manakala pelancong yang selebihnya tahun lepas adalah dari China, Semenanjung, Singapura, Eropah, Australia dan pelbagai negara lain,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengemudi Pelancongan Sarawak (STSC) yang pertama tahun ini, di sini hari ini.
Abdul Karim berkata pelancong yang melawat negeri ini tahun lepas telah menjana resit pelancongan sebanyak RM8.59 bilion, dan meningkat berbanding sebanyak 4.661 juta pelancong melawat negeri ini pada 2016 yang menjana resit pelancongan sebanyak RM8.37 bilion.
“Tahun ini, Malaysia mensasarkan mendapat seramai 33 juta pelancong manakala kita Sarawak pula mensasarkan mendapat seramai 5.25 juta pelancong dan akan mengira bilangan kemasukan mereka melalui pintu masuk negeri ini samada lapangan terbang atau pintu sempadan dan bukan berdasarkan penginapan pelancong di hotel,” katanya.
Abdul Karim berkata bagi meningkatkan kedatangan pelancong ke Sarawak tahun ini, pihaknya akan mengatasi dua masalah yang berlaku tahun lepas iaitu kekurangan pemandu pelancong yang fasih berbahasa Mandarin bagi membawa pelancong warga China dan masalah pelancong asing yang melawat Brunei untuk juga mendapatkan visa memasuki dan melawat negeri ini.
Katanya ketika ini terdapat sekitar 200 pemandu pelancong berlesen di negeri ini tetapi hanya sebahagian kecil yang fasih berbahasa Mandarin dan bercadang mengunakan khidmat pemandu pelancong sementara serta mengunakan khidmat ranjer taman negara yang fasih dalam bahasa itu.
“Ketika ini ada tiga penerbangan seminggu antara negeri ini dengan Shenzhen, China manakala dari Januari hingga Mac keseluruhannya 20,000 orang telah mengunakan penerbangan terbabit,” katanya.
Manakala pihaknya hari ini akan mengadakan dialog dengan Jabatan Imigresen di Miri bagi membolehkan pelancong asing yang melawat Brunei diberikan visa serta-merta sekiranya mereka ingin juga melawat negeri ini terutamanya bandaraya Miri atau Taman Negara Mulu.
Sementara itu, dari segi kutipan cukai pelancongan, negara ini keseluruhannya mengutipnya sebanyak RM39,975,634, dari Sept 1, 2017 sehingga Dis 31, 2017 dengan Sarawak mengumpul sebanyak RM879,058 untuk cukai terbabit.
Menurutnya kerajaan pusat telah bersetuju supaya dari RM10 cukai yang dikenakan kepada pelancong asing menginap di hotel di negeri ini, sebanyak RM5 akan diserahkan kepada negeri ini, maka Sarawak akan menerima separuh cukai itu atau sebanyak RM439,529.
“Tiga negeri tertinggi kutipan itu ialah Kuala Lumpur dengan sebanyak RM16,625,258 dikuti Sabah dengan sebanyak RM4,530,628 dan Pulau Pinang dengan sebanyak RM3,881,655 kerana mereka mempunyai lebih banyak hotel dan dapat mengenakan lebih banyak cukai pelancongan berbanding kita di negeri ini,” katanya. — DayakDaily