Jumlah mangsa banjir meningkat, tiga PPS dibuka

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS.

KUCHING, 28 Feb: Jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat kepada 127 orang setakat jam 3 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata jumlah meningkat ekoran pembukaan sebuah lagi PPS di Surau Nur Hidayah, Kampung Batu Kitang Jaya yang menempatkan 107 orang mangsa.

Manakala dua lagi PPS adalah di Dewan Perdana Bomba Bau yang menempatkan 11 orang mangsa dan Balai Raya Kampung Opar seramai sembilan orang.


Kesemua mangsa dipindahkan ke PPS tersebut disebabkan bencana banjir. — DayakDaily