Jumlah mangsa banjir di tiga daerah meningkat ke 517

Anggota APM membantu memindah mangsa yang terjejas akibat banjir.

KUCHING, 13 Jan: Jumlah mangsa yang dipindahkan akibat terjejas banjir di Sarawak terus meningkat kepada 517 mangsa berbanding 385 mangsa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, pertambahan itu susulan pembukaan tiga lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kuching dan Miri.

Katanya, daerah yang terjejas akibat banjir kekal tiga iaitu di Kuching, Serian dan Miri.


“Setakat jam 4.00 petang tadi tiga lagi PPS dibuka di Kuching iaitu PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua dan PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Matu Baru dan PPS Dewan Masyarakat Stapok manakala di Miri di PPS Surau Darul Iman, Tudan Fasa 2,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Anggota APM membantu memindah mangsa yang terjejas akibat banjir.
Anggota APM membantu memindah mangsa yang terjejas akibat banjir.

Ismail berkata, sehingga kini, sejumlah 170 buah keluarga ditempatkan di sembilan PPS selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan sejak petang semalam.

Fenomena air pasang besar yang melanda petang semalam turut menyebabkan limpahan air laut di beberapa kawasan rendah di Miri dan Limbang sekaligus menyebabkan banjir kilat. — DayakDaily