Jugah: MPKKP bertanggungjawab penuhi aspirasi masyarakat luar bandar

Jugah serta rombongang disambut mesra oleh penduduk rumah panjang Rumah Cherang Daka Lipat Ulu, Skrang semalam (Nov 2, 2019).

LUBOK ANTU, Nov 3: Penyediaan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dilaksanakan dengan cara yang profesional tanpa sebarang prasangka politik, jelas Ahli Parliamen Lubok Antu Jugah Muyang.

Jelas beliau, prinsip perlaksanaan MPKKP dipersetujui oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggariskan dasar supaya kerajaan perlu berkhidmat kepada seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan ideologi politik.

“Kita harus sedar, kesejahteraan rakyat di bawah hala tuju baru kementerian adalah untuk semua rakyat.


“Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah menyediakan mekanisme yang telus dalam mengendalikan permohonan geran terutamanya dari aspek penilaian permohonan geran diputuskan melalui Jawatankuasa Khas dianggotai antaranya Unit Perancang Ekonomi,” jelas Jugah ketika merasmikan Program Penerangan MPKKP di Rumah Cherang Daka Lipat Ulu, Skrang semalam.

Beliau menambah, peruntukan kepada MPKKP selepas diberikan penjenamaan baharu daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan berjumlah RM10,000 dengan siling geran tidak melebihi RM100 juta setahun.

“Ia bertujuan membiayai projek dan program penjanaan peningkatan ekonomi kampung, selain berkaitan usaha meningkatkan kesejahteraan serta keceriaan kampung. Kerajaan PH mahu perkhidmatan kepada rakyat benar-benar dilaksanakan dan dibuktikan bukan sekadar memberikan janji tanpa sebarang pelaksanaan.

“MPKKP adalah ibarat kerajaan paling bawah yang peranan dan tanggungjawabnya begitu besar dan sangat relevan.

“Ini kerana mereka adalah penghubung di antara rakyat luar bandar dengan kerajaan, tanpa MPKKP mustahil untuk kerajaan negeri dan Persekutuan menyalurkan semua keperluan rakyat yang masih belum diliputi. MPKKP bertanggungjawab menyalurkan maklumat-maklumat ini kepada pihak berwajib untuk diambil tindakan,” kata Jugah.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bagi tujuan perancangan pembangunan luar bandar Sarawak pada masa akan datang, MPKKP perlu mengambil tanggungjawab untuk mengenalpasti keperluan prasarana asas kampung masing-masing.

“MPKKP perlu mempunyai pangkalan data atau profil kampung yang sentiasa dikemaskini,” kata Jugah.

Dalam majlis tersebut, Jugah menyumbang peruntukan sebanyak RM70,000 untuk membina jambatan Rumah Cherang dan RM40,000 untuk peralatan Rumah Gimang.

Turut hadir dalam program tersebut, timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu Jim Andrew Janggi, Pegawai Bomba Gemong, 19 tuai rumah termasuk 200 orang penduduk dari rumah panjang di kawasan sekitar Lipat Ulu, Skrang. — DayakDaily