JTS: Diskaun 30 peratus cukai tanah, ansuran premium tanah ditangguh

Land and Survey Department

KUCHING, 28 Mac: Cukai tanah tahun ini akan diberi diskaun sebanyak 30 peratus, susulan pengumuman kerajaan negeri Sarawak, kata Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

“Sebagai contoh, jika cukai tanah adalah RM1,000 pada tahun semasa, pemilik tanah cuma perlu membayar sebanyak RM700 sahaja selepas pemberian diskaun sebanyak 30 peratus,” kata JTS dalam kenyataan akhbar.

Tambah JTS, sekiranya tempoh bagi pembayaran cukai tanah tahun 2020 matang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka denda atau surcaj disebabkan kegagalan pemilik membayar cukai tanah sebelum tempoh matang tersebut akan dikecualikan.


Selain itu, jabatan tersebut turut mengumumkan penangguhan pembayaran ansuran premium tanah yang juga selaras dengan pengumuman kerajaan negeri.

Menurut JTS, pembayaran ansuran premium tanah tahun 2020 ditangguhkan ke tahun 2021.

“Ini bermakna pemilik tanah hanya perlu membayar ansuran premium tanah tersebut pada tahun 2021.

“Sebagai contoh, sekiranya surat hakmilik tanah yang dikeluarkan pada tahun 2019 mempunyai ansuran premium pertama tahun 2019, kedua (2020), ketiga (2021), keempat (2022) dan kelima pada tahun 2023, maka ansuran kedua tahun 2020 hanya perlu dibayar pada tahun 2021.

“Ansuran tahun-tahun berikutnya juga akan dianjak setahun ke belakang,” menurut JTS. — DayakDaily