JPVS mensasar 500 anjing menerima suntikan setiap program pemvaksinan

Dr Jackie menyuntik dos vaksin rabies pada seekor anjing peliharaaan penduduk di kawasan Sungai Apong.
Advertisement

KUCHING, Ogos 4: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) mensasar untuk memberikan suntikan vaksin rabies kepada 500 ekor anjing setiap kali mengadakan program pemvaksinan secara besar-besaran di lokasi terpilih sekitar bandaraya.

Wakil jabatan Dr Jackie Peter berkata ini berdasarkan purata sebanyak 450-500 ekor anjing akan dibawa pemiliknya ke lokasi program itu setiap kali diadakan di sekitar bandaraya pada hari Sabtu setiap minggu, bermula jam 9 pagi.

“Kami juga mensasarkan seramai 500 ekor anjing mendapat suntikan vaksin rabies pada program hari ini (kawasan Sungai Apong) dan minggu ini kami juga mengadakan program ini di tiga tempat lain termasuk Hui Sing Garden dan Stutong Jaya,” katanya ketika mengetuai sekitar 10 kakitangan JPVS mengadakan program itu di Gelanggang Bola Keranjang Sungai Apong di sini, hari ini.

Advertisement

Dr Jackie berkata bagi program minggu ini, pihaknya hanya akan memberikan suntikan dos pertama, iaitu bagi anjing yang belum pernah disuntik dos vaksin itu dan suntikan dos kedua iaitu kepada anjing telah diberikan suntikan dos pertama setahun yang lepas.

Beliau menjelaskan suntikan dos pertama vaksin rabies akan semakin menurun keberkesannya mencegah rabies selepas tempoh setahun dan berikutan itu anjing perlu suntikan dos kedua bagi menaikkan kembali keberkesanan terbabit.

“Sehubungan itu bagi setiap anjing yang kami sudah vaksin, pemiliknya akan diberikan satu kad bagi menyimpan maklumat berkaitan suntikan dos yang telah diberikan kepada anjing peliharaan mereka,” katanya dan pemilik anjing juga perlu membawa kad pengenalan dan anjing mereka sendiri ke lokasi program terbabit. — DayakDaily

 

Advertisement